Sepanjang hampir 10 tahun dalam bisnes, bermula dari menjual air kotak dan pudding di universiti, sehingga sekarang, Alhamdulillah, Allah beri saya faham beberapa perkara yang penting terutama untuk bisnes.
Dulu, fokus utama bila buat bisnes hanyalah duit. Duit, duit dan duit. Itu tujuan mutlak. Tidak ada yang lain.
Ketika itu, saya faham yang duit akan sediakan segala yang saya inginkan. Boleh beli apa nak beli, boleh dapat apa yang dihajati hanya jika ada wang.
Buatlah apa sahaja asal kaya.
Sehinggalah pada tahun 2011, semua hilang sekelip mata!
Yang diusaha hilang, duit hilang, motivasi hilang, semua hilang! Hatta bayang pun tak nampak. Ketika itu saya faham beberapa perkara.
1. Duit tidak akan memberi kegembiraan, progress hidup yang akan beri kegembiraan.
Bayangkan begini. Jika Allah takdirkan kita lahir kedunia, dan tak besar-besar! Saiz bayi sehingga umur 50-60 tahun. Apa perasaan kita?
Sudah tentu kita akan rasa bosan dan rasa tidak berguna. Dalam bahasa lain, “no progress, plato”.
Sama juga kalau kita membesar, tetapi dari kecil sampai besar asyik minum susu sahaja. Tak boleh jamah makanan lain. Sudah pasti rasa bosan.
Begitu juga dengan hidup.
Kita sebenarnya mahukan duit bukan sebab duit. Tetapi “progress” yang duit boleh berikan.
Beli rumah baru itu progress
Beli kereta baru itu progress
Beli baju baru… pergi bercuti.. berkahwin itu semua progress.
Maksud progress adalah kita sebagai manusia mahu “move” dari 1 point ke point yang lain dalam hidup. Kita mahu taraf hidup kita meningkat.
Ya, selama ini saya salah. Saya ingat duit yang boleh berikan semua itu. Pemahaman saya tentang duit terlalu daif sehingga kita jadi hamba duit. Buka mata setiap hari fokusnya cari duit.
Jika dulu tak pandai bercakap, sekarang boleh berucap di depan 1 ribu, 10 ribu orang. Itu progress.
Jika dulu tak pandai closing sale, sekarang pandai. Jika dulu tak pandai marketing, sekarang pandai. Itu progress.
Bila mana kita fokus untuk buat progress, hatta sekecil mana progress, sebenarnya duit sedang datang kepada kita.
Fokus progress, duit akan datang. Percayalah!
2. Jika fokus kita duit, duit akan lari. Fokus kepada nilai, baru duit datang.
Cuba kita lihat not RM100 (ini duit paling besar di Malaysia). Cuba pegang duit tersebut, tenung dan jika boleh koyakkan!
Saya amat yakin tak mungkin orang akan koyakkan duit not RM100. Kenapa?
Jawapannya sangat jelas, itu duit! Jika dikoyak nanti “nilai” nya akan hilang.
Cuba perhatikan duit itu sekali lagi, bukankah duit itu diperbuat dari kertas? Ya, ia hanyalah kertas! Bukan emas atau perak atau gangsa!
Namun, kertas biasa apabila diberi nilai RM100, ia jadi RM100. Jika diberi nilai RM50, maka jadilah ia RM50 dan seterusnya.
Pokok pangkalnya bila berniaga, kita sebenarnya berjual beli dengan “nilai”.
Samada barang, servis mahupun apa sahaja. Kita akan “trade” dengan nilai dan nilai tersebut adalah duit.
Justeru, saya faham satu perkara, jika fokus duit, duit akan hilang. Tetapi jika kita buat bisnes dan fokus untuk memberi nilai sebanyak-banyaknya, kita akan dapat duit sebanyak banyaknya!
3. Duit ini sifatnya makhluk!
Ini adalah pelajaran yang paling “ultimate” yang saya belajar. Saya letakkan di point no 3 kerana saya amat yakin, pembaca yang boleh membaca sehingga point ini adalah manusia yang benar-benar ingin berjaya dalam hidup dan perniagaan.
Ya, duit adalah makhluk!
Bila kita bercakap soal makhluk, sudah pasti ada pencipta dan pemiliknya.
Siapa pemiliknya?
Pemiliknya adalah pencipta anda, saya dan kita semua. Pemilik segala kekayaan dunia adalah Allah! Yang Maha Kaya.
Jika ditanya orang paling kaya dunia sekali pun, tidak mungkin mereka boleh berikan oksigen secara PERCUMA untuk semua orang.
Orang paling kaya dunia pun tak mungkin boleh cipta tubuh badan, kaki, kepala, mata, mulut, lidah, dan berikan PERCUMA untuk kita gunakan!
Tak mungkin!
Itulah sebab Allah yang Maha kaya…
Saya faham waktu zaman jatuh, nak mintak jangan minta pada manusia. Tetapi minta dan merayulah kepada “Pemilik harta langit dan bumi”.
Sifir Allah mudah. Jika mahu 10, berilah 1 dulu.
Allah akan ganti minimum 10 kali ganda. Kalau kita bernasib baik, Allah pun ada janji untuk ganti 700 kali ganda!
Pokok pangkalnya, minta saja dengan Allah. Sedekah, solat, sabar!
InsyaAllah!
Kesimpulan
Selepas melalui fasa naik, jatuh dan akhirnya naik balik, saya belajar banyak perkara. Alhamdulillah semua dengan izin Allah.
Cumanya paling penting, genggam duit hanya ditangan, tetapi biarkan hati untuk tuhan. InsyaAllah kita akan tenang dan menang!
artikel yang sangat bagus tuan, terima kasih berkongsi