Pernah anda terfikir begini? Dah buat macam-macam strategi bisnes, tapi masih di tahap yang sama dan belum ada kemajuan! Jika YA, jadi apakah yang sebenarnya menghalang potensi anda daripada terus maju ke peringkat  yang lebih tinggi?

Tanya pada diri. 

…Adakah anda pernah hadapi masalah dengan orang di sekeliling anda? Rakan sepejabat? Rakan kongsi perniagaan? Mak Ayah? Adik beradik? 
…Berapa lama perkara itu sudah berlaku dan berlarutan? 
…Adakah anda masih belum memaafkan mereka yang menyebabkan anda berkecil hati, kecewa dan marah? 

Cuba renungkan adakah perkara tersebut yang selama ini mungkin menyekat rezeki daripada datang kepada anda.

Salah satu daripada sabda nabi ada mengatakan bahawa cara untuk kita memperoleh rezeki adalah melalui SILATURRAHIM

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :

“Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturahim.”  Riwayat al- Bukhari (5986) dan Muslim (2557).

Persoalannya bagaimana hendak menjaga dan menghubungkan silaturrahim jika hati masih marah?Jadi, jom amalkan tip-tip mudah bagaimana cara untuk memaafkan orang lain. Memaafkan bukan sahaja mampu memperbaiki silaturrahim, malah boleh menenangkan jiwa dan melapangkan hati, jadi anda akan ada banyak ruang dan peluang untuk fokus kepada kejayaan anda.

10 Cara Bagaimana Untuk Memaafkan Orang Lain

1) Tukar Fokus Anda.

Jangan fokus kepada masalah. Jangan bercerita tentang masalah tersebut kepada orang lain. Jika tidak, anda akan mula mengingati dan berfikir semula tentang masalah tersebut.

Fokus kepada momen gembira yang boleh membawa ‘energi’ dan membuatkan anda rasa gembira dan bahagia. Hidup adalah keputusan kita, bukan keputusan orang lain. Jadi masalah yang berlaku kepada seseorang adalah kerana hidupnya ditentukan orang lain. Anda sebenarnya yang bertanggungjawab dalam menentukan fokus anda sendiri.  Sama ada, fokus kepada ketika anda marah, atau fokus kepada ketika anda gembira. Jadi berbalik kepada TUKAR FOKUS ANDA.

2) Silaturrahim, Istighfar & Solat. 

Bilamana anda sedang marah kepada seseorang, sentiasa ingat pada setiap perkara yang kita buat adanya janji Allah! Bila ada janji Allah, maka perkara yang kita buat adanya berkat & ‘result’ berlandaskan Allah. 

Bila anda marah, cepat-cepat beristighfar, solat dan mohon ampun kepada Allah. Ini kerana bila kita sedang marah kita bercenderung memutuskan silaturrahim! 

Ingat! Allah melarang memutuskan silaturrahim kerana dalam silaturrahim adanya rezeki. 

3) Renungkan Kisah-kisah Nabi

Kenapa? Terdapat banyak kisah-kisah nabi yang boleh memuhasabahkan diri kita dan membantu untuk kita berikan kemaafan.

Sebagai contoh, melalui Kisah Nabi Muhammad ﷺ dengan seorang yahudi yang buta. Nabi Muhammad ﷺ tetap mendatangi si Yahudi buta dengan membawakan makanan setiap pagi walaupun baginda dikeji, dihina & difitnah.  Betapa mulianya hati baginda yang sentiasa memaafkan dan masih melakukan kebaikan kepada pemfitnahnya. Yang akhirnya Si Pengemis Yahudi Buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan sahabat baginda Abu Bakar r.a.

Selain itu, kita juga boleh meneladani kisah Nabi Yusuf AS yang mana baginda telah dibuang ke dalam sebuah telaga buta ketika masih kecil. Perbuatan itu dilakukan oleh adik-beradiknya akibat rasa cemburu mereka terhadap baginda AS.

Apabila Nabi Yusuf sudah menjadi orang yang berkuasa di Mesir, baginda AS tidak berdendam. Malah, baginda memaafkan adik-beradiknya.

Malah sering kali kita dengar, “sedangkan nabi memaafkan umatnya”. Setinggi mana darjat & pangkat seseorang,  yang paling tinggi adalah kemurahan hatinya untuk memaafkan orang lain. Perbuatan memaafkan adalah sifat para rasul, nabi dan wali-wali ALLAH yang berjiwa hebat!

4) Cuba Fahami Diri.

Fahami diri berbanding dari memahami orang lain. 

Betul atau tidak? Perkara paling mudah dalam dunia adalah menyalahkan orang lain. Cuba lihat sedalamnya dan muhasabah diri adakah diri sendiri yang membawa punca kepada masalah yang berlaku selama ini dan cuba maafkan. Anda yang mengawal diri anda sendiri dan letakkan diri sentiasa ‘in-control’ atau dalam kawalan diri.

5) Jadilah Seperti Air. 

Kerana Air tidak pernah berhenti, meneruskan perjalanan dari gunung ke muara. Bermaksud, ‘Let it go’ – lepaskan. Lepaskan dengan cara memaafkan orang yang menyakiti hati anda. Hari ini mungkin kita yang sakit, tapi esok In Shaa Allah, Allah gembirakan hati kita. Mudah-mudahan.

6) Jadi Baik Bukan Jadi Betul. 

Bila kita sentiasa ‘nak jadi betul’, maka kita akan banyak menyalahkan orang lain. 

Jika kita pilih ‘nak jadi baik’, kita akan mudah memaafkan. Apabila kita memaafkan orang, ALLAH akan mengampunkan dosa kita. Malah, hati kita juga akan menjadi lebih tenang, dan kita akan dekat dengan keampunan-NYA.

7) Living is By Giving. Hidup Adalah Dengan Memberi. 

Kita gembira dengan memberi kemaafan. Jika Allah Maha Pengampun menerima taubat, bagaimana pula kita yang tidak memaafkan? Adakah kita lebih hebat dari Allah? Tidak!

Kita tidak boleh mengawal orang lain, tetapi kita boleh kawal diri kita sendiri. Jadi, jaga hati dan beri kemaafan.

8) ‘Stop’ Hidup Di masa Lampau. 

Berhentilah dari hidup di masa lampau kerana ia tidak memberi apa-apa manfaat untuk anda. Ingat! Anda juga tidak mampu untuk mengubah apa pun yang telah berlaku di masa lalu dan ia merugikan masa dan fokus anda. Perbuatan memaafkan dapat membantu anda melepaskan diri dari masa lampau yang boleh memperlahankan ‘progress’ matlamat hidup anda. 

Jadi ‘Start’ hidup di masa sekarang. Mulakan hidup baru, tetapkan fokus baru jika anda ingin capai kejayaan yang anda impikan. 

9) Beri Kasih Sayang. 

Memaafkan orang lain dengan cara beri kasih-sayang. Hmmm..nampak susah, bukan? Buat dulu, baru anda akan rasa nikmatnya kemaafan dan kasih sayang. 

Sebagai contoh, berbalik kepada kisah si Pengemis Yahudi buta tadi, Nabi Muhammad ﷺ beri kasih sayang walaupun dengan kata-kata si buta tersebut, sehinggakan si buta tersebut akhirnya mengucap dua kalimah syahadah. Apa yang Nabi terapkan adalah baginda membalas dengan kebaikan dan memberi kasih sayang. 

10) Redha.

Bersikap redha dengan perkara yang telah berlaku, boleh membantu anda supaya lebih mudah memaafkan orang, malah membuatkan jiwa dan perasaan lebih tenang. Allah kasih kepada orang yang memaafkan orang lain sepertimana yang disebutkan dalam Surah Ali ‘Imran Ayat 134,.

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;” 

Mengamalkan sikap Redha dengan menjauhi perkataan ‘KALAU’ kerana sesungguhnya perkataan ‘kalau’ itu akan membukakan jalan syaitan.

Daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: 

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Apapun, kedua-duanya memang ada kebaikan (kerana beriman). Bersungguh-sungguhlah mencapai sesuatu yang bermanfaat untuk kamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah SWT dan janganlah kamu menjadi orang yang lemah. Apabila kamu ditimpa sesuatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan, ‘Kalau saya tadi berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan terjadi begini dan begitu’, tetapi katakanlah, ‘Ini sudah takdir Allah dan apa dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan. Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ akan membukakan jalan syaitan.”

Maka, tukarlah dari menyebut ‘kalau’ kepada menzahirkan rasa ‘redha’ dengan memberi kemaafan.

Kesimpulannya, muhasabah diri dan mula memaafkan orang lain yang kita pernah rasa kecil hati, marah, dendam dan sebagainya kerana ia adalah sikap & sifat yang merugikan.

Semoga 10 cara perkongsian ini bermanfaat kepada anda semua, dan ingatlah bahawa memberi kemaafan adalah sifat orang-orang yang HEBAT dan LUAR BIASA.

Jika anda nak dapatkan lebih banyak perkongsian hidup luar biasa, tips bisnes, motivasi dan inspirasi usahawan, join Channel Telegram Fahdi Ghazali sekarang!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *